Friday, March 28, 2008

Kepentingan tarbiyyah ruhiyah untuk pendokong harakah Islam

TARBIAH RUHIYAH DAN KEPENTINGANNYA DALAM PROSES PEMBINAAN DAN PERUBAHAN UMMAH بسم الله الرحمن الرحبم 1.0 Mukadimah Harakah Islamiah dewasa ini amat berhajat kepada pendokong-pendokongnya yang mempunyai pandangan yang jelas mengenai kepentingan persediaan ruhiyah di dalam perjalanan dan perjuangan untuk mengabdikan semula Islam di tempatnya. Berjalan di atas perjalanan kerohanian atau ruhiyah adalah suatu keperluan yang tidak dapat tidak, pendokong gerakan Islam mesti berada di atasnya. Permasalahan tanzim dan takhtit semata-mata tidak menjamin keselamatan dan kesejahteraan para pendokongnya di dalam menghadapi situasi dan cabaran semasa. Di dalam kertas kerja ini, kita cuba untuk mengenengahkan permasaalahan kerohanian yang bersumberkan Al Quran dan As Sunnah dan pendapat ahli haq yang bertepatan dengan keimanan kita. 'Perjalanan kepada Allah' sama sekali tidak dapat disangkal dan dilupakan oleh pendokong-pendokong gerakan Islam. Bahkan ia adala suatu tuntutan dan kehendak yang wajib dijelmakan ke dalam setiap peribadi anggota gerakan agar kemenangan Islam di era lalu dapat dikembalikan, justeru kita meyakini hanya golongan yang mempunyai jiwa kerohanian sahajalah yang mampu membawa pelita hidayah dan menerangi kegelapan jahiliyyah yang sedang meruntun setiap ruang kehidupan ummah dewasa ini. 2.0 Definisi Tarbiah Ruhiyah / Kerohanian Tarbiah ruhiyah secara umumnya di takrifkan ialah suatu proses tarbiah membentuk roh dan jiwa, melalui beberapa marhalah tertentu dan di dasarkan kepada pembentukan hati yang sentiasa digilapkan dengan aqidah, roh yang sentiasa dididik dengan ibadah dan mempertingkatkan jiwa kepada setinggi-tinggi pencapaian kesempurnaan. 3.0 Tarbiah Ruhiyah Bekalan Di atas Jalan Dakwah 3.1 Jalan dakwah adalah segalanya di dalam kehidupan pendakwah. Betapa jalan dakwah di penuhi onak dan duri, jalan berliku, bahkan terlalu jauh matlamat dan tujuan yang hendak ditujui. Di atas jalan ini pendakwah berhadapan dengan ketakuatan dan ugutan, ancaman pembunuhan dan ujian. Firman Allah SWT. : الذين قال لهم الناس ان الناس قد جمعوا لكم فخشواهم فزادهم ايمانا وقالوا حسبناالله و نعم الوكبل – آل عمران : 173 Maksudnya : “(iaitu orang yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang mengatakan :"sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka " Maka perkataan itu menambahkan keimanan mereka dan mereka menjawab :" cukukplah Allah menjadi penolong kami dan Allah sebaik-baik pelindung." 3.2 Sesungguhnya hanya persediaan ruhiyah sahajalah yang dapat menyelamatkan pendakwah dan melepaskannya daripada semua ujian itu. Betapa pendakwah amat berhajat kepada bekalan ini agar pendakwah tetap tidak tergugat di atas jalannya, tidak teragak-agak dan cemas untuk meneruskan perjalanannya. 4.0 Objektif Tarbiah Ruhiyah 4.1 Objektif tarbiah ruhiyah ialah untuk mencapai hati yang sejahtera, bercahaya dan nur iman yang sentiasa bertambah. Semua keadaan hati yang menjadi matlamat perjalanan ini adalah hasil daripada amal ibadah, sehingga dengan itu hati memuncak mencapai maqam ihsan. Sabda Rasulullah SAW : أعبد ربك كأنك تراه فان لم تكن تراه فانه يراك - رواه أبو نعيم Maksudnya : “sembahlah tuhanmu seolah-olah kamu melihatnya, sekalipun kamu tidak dapat melihatnya, sesungguhnya dia melihat kamu.” 4.2 Mengikut kadar kenaikan dan kesuburan iman dan pencapaian terhadap maqam ihsan, terbentuklah peningkatan istiqamah, akhlak dan pengamalan seorang muslim. 5.0 Perjalanan Menuju Allah. Perjalanan Tarbiah Ruhiyah adalah perjalanan menuju Allah. Pejalanan menuju Allah bererti berpindah daripada jiwa yang kotor kepada jiwa yang bersih, pemikiran yang tidak syar'ie kepada pemikiran yang diredhoi syariat, daripada hati yang engkar, fasiq dan sakit atau hati yang kerasmembatu kepada hati yang tenang dan sejahtera, daripada roh yang tidak mengenal ketundukan kepada tuhan kepada roh yang mengenal tuhannya dan menunaikan semua hak pengabdian kepada tuhannya, daripada jasad yang tidak patuh kepada peraturan syariat kepada jasad yang tunduk dan patuh kepada Allah dan daripada diri yang tidak sempurna kepada diri yang lebih atau paling sempurna. Semua yang tersebut ini adalah ibarat pada pentakrifan erti perjalanan menuju Allah yang terkandung di dalamnya ertikata yang lebih khusus, ianya adalah matlamat pencapaian kita dai dalam perletakan 'Tarbiah Ruhiyah' di dalam perjalanan jemaah. 6.0 Taqwa Sebagai Jalan Taqwa adalah jalan untuk mencapai matlamat kerohanian di dalam Tarbiah Ruhiyah. Dan jalan untuk mencapai kepada maqam taqwa ialah dengan melalui proses-proses : a) Mua'hadah Mua'hadah ialah bersendirian diri seorang muslim dengan tuhannya, membuat dan memberi janji bahawa ia tidak akan memberi hak pengabdiaan melainkan hanya pada tuhannya, tidak memohon pertolongan melainkan hanya pada Allah dan tidak akan memenuhi kehidupannya melainkan hanya dengan manhaj Tuhannya yang lurus. Inilah makna daripada ucapan seorang muslim di dalam setiap rakaat solatnya : اياك نعبد و اياك نستعين b) Muhasabah Muhasabah ialah dengan perkiraan dan hisab seorang muslim terhadap dirinya setiap kali berlalu dan berakhirnya amalannya, adakah amalannya ikhlas dan hanya menuntut keredhoan Allah, adakah perasaan riya' telah memasuki amalan ketaatannya, adakah ia telah menunaikan hak yang telah wajib ke atasnya terhadap tuhannya dan hak yang wajib terhadap sesama manusia. Seandainya pada pengamalannya seluruhnya adalah kebaikan maka kepada Allah ia meletakkan kepujian, dan seandainya berlaku sebaliknya, ia hendaklah bersegera beristigfar dan memohon ampun kepada Allah. Inilah makna yang terkandung di sebalik ucapan Saidina Umar RA : حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا وزنوا قبل أن توزنوا .... c) Mujahadah Ia adalah usaha dan kesungguhan seorang muslim melawan hawa nafsunya ke arah memperelokkan ketaatan yang mendekatkan dirinya kepada Allah, berusaha menambah dan melipatgandakan ketaatan yang telah dan sentiasa dikerjakannya, sehingga ketaatan itu menjadi keutamaan di dalam hidupnya. Inilah makna yang terkandung di dalam firman Allah : والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا d) Muradabah Malu dengan sikap sendiri e) Muaqabah Memukul diri sendiri 7.0 Kedudukan Mujahadah Di Dalam Tarbiah Ruhiyah 7.1 Tarbiah Ruhiyah, seperti yang telah dijelaskan ,adalah perjalanan untuk sampai kepada Allah. Hasil yang dicitakan ini hanya akan dapat dicapai dan diperolehi melalui mujahadah. Firman Allah Taala : والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا - العنكبوت : 69 Maksudnya : “dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan kami, benar-benar kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami.” 7.2 Jelaslah mujahadah adalah merupakan usaha seorang muslim untuk mencapai matlamat di dalam perjalanan kerohaniannya. Dan hidayah itu adalah limpah kurnia dan pemberian Allah kepada kepada hamba-hambanya. Sesungguhnya, mujahadah dan hidayah itu tidak akan sempurna melainkan dengan taufik dan pertolongan Allah jua. Firman Allah : اياك نعبد و اياك نستعين Maksudnya : “Akan dikau kami sembah dan akan dikau kami mohon pertolongan.” Firman Allah : والذين اهتدوا زادهم هدى وءاتاهم تقوهم - محمد : 17 Maksudnya : “Dan orang-orang yang mendapat petunjuk Allah, Allah menambah petunjuk mereka dan memberi mereka balasan ketaqwaan.” Kesimpulannya , mujahadah adalah wasilah untuk sampai kepada hidayah, sementara hidayah dapat menyampaikan seorang muslim kepada ketaqwaan. 7.3 Kedudukan mujahadah di dalam tarbiah ruhiyah hendaklah didasarkan kepada empat persoalan pokok demi mujahadah yang di dalam tarbiah ruhiyah tidak terkeluar dan tergelincir daripada jalannya yang sebenar. Mujahadah yang benar adalah didasarkan kepada : a) Keimanan kepada Allah dan mentauhidkannya serta mengimani kerasulan Nabi Muhammad SAW. b) Mendirikan semua kefarduan ibadah di dalam waktunya. c) Mengisi diri deangan keperluan ibadah-ibadah sunat d) Rukun mujahadah: i. u'zlah ii. Mendiamkan diri dari sesuatu yang tidak manfaat iii. Berjaga malam dan menghidupkannya iv. Beristighfar 8.0 Pemusatan Terhadap Pengislahan Hati 8.1 Marhalah pertama di dalam perjalanan kerohanian ialah marhalah perpindahan hati dari hati yang sakit kepada hati yang sihat sejahtera. Dan marhalah kedua ialah marhalah pengisian hati dengan bekalan hariannya atau bekalan yang di perlukan oleh hati pada setiap detik dan waktu agar hati tetap kekal terjaga di dalam keadaan keimanan yang tinggi, sehinggalah ia bertemu tuhannya. Firman Allah : واعبدوا ربك حتى يأتينك اليقين - الحجر : 99 Maksudnya : “dan sembahlah tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).” 8.2 Di dalam tarbiah ruhiyah, pemusatan kepada pengislahan hati adalah titik tolak yang benar dan tepat, justeru dengan itu tercapainya hati kepada kesejahteraannya. Sehingga seorang muslim dengan hatinya yang sejahtera dapat menyelamatkannya daripada tipu daya syaitan, bisikan dan fitnahnya, samaada syaitan manusia atau syaitan jin. Firman Allah: وكذلك جعلنا لكل نبى عدوا شيطين الانس و الجن يوحى بعضهم الى بعض زخرف القول غرورا. الانعام : 112 Maksudnya :” Dan demikianlah kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan, jin dan manusia, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah untuk menipu manusia.” 8.3 seorang muslim di dalam gerakan adalah amat patut memberi perhatian yang serius terhadap pengislahan hati dan bekalannya agar dengan itu menjadikan hatinya bercahaya, bersinar dan sejahtera dan melayakkannya memikul tugas pembawa risalah dan perubah masyarakat. 9.0 Keperluan Wirid Harian Dan Daurah Ruhiyah 9.1 Wirid Harian 9.1.1. Seorang muslim adalah amat perlu menyuburkan rohnya di dalam waktu seharian hidupnya. Wirid harian itu merangkumi penjagaan terhadap kewajipan solat dai dalam waktunya dan sentiasa berkekalan mengerjakan solat sunat mengikut kadar kemampuan seseorang, mengikut keperluan di dalam pengislahan hatinya. 9.1.2. Secara umumnya, wirid harian yang di tuntut menjadi perlaksanakan di dalam tarbiah ruhiyah ialah : a) Solat berjemaah serta solat sunat rawatibnya dengan menjaga pengamalan zikirnya, qiamullail dan solat sunat dhuha. b) Istiqhfar harian tidak kurang 100 kali c) Hanqalah tidak kurang 100 kali d) Selawat tidak kurang 100 kali e) Surah Al- Ikhlas 3 kali f) Sejuzuk daripada Al Quran setiap hari g) Menjaga zikir dan doa makan ,tidur , masuk dan keluar rumah h) Memperbanyakkan zikir-zikir yang secara mutlak seperti tahlil,tahmid, tasbih dan sebagainya. 9.2 Daurah Ruhiyah 9.2.1 Di dalam menjayakan tarbiah ruhiyah, seorang muslim hendaklah mempunyai 'daurah ruhiyah' di dalm kehidupannya. Pusingan dan daurah ruhiyah ini adalah juga mengikut kadar kemahuan seorang muslim. Ia boleh dilakukan di dalam tempoh 40 hari, 3 hari, 7 hari dan sebagainya. 9.2.2 Di dalam tempoh daurah, adalah suatu yang amat baik kalau dapat dihimpunkan di dalamnya puasa dan qiamullail, solat berjamaah, membaca al-Quran dan berzikir. Ia amat bermakna serta memberi kesan yang bermanfaat di dalam perkembangn dan peningkatan ruhiyah seorang muslim sehingga ia dapat dirasai oleh seorang muslim yang ikhlas di dalam perlaksanaannya. 9.2.3 Daurah Ruhiyah yang menjadi perjalanan di dalam tarbiah ruhiyah adalah bersumberkan perjalanan Rasulullah SAW , sebagai contohnya ialah iktikafnya Rasulullah di dalam sepuluh terakhir di dalam bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW mengenai solat dalam konteks daurah ruhiyah : من صلى فى مسجد جماعة أربعين ليلة لا تفوته الركعة الأولى من صلاة العشاء كتب الله بها عتقا من النار رواه ابن ماجه و الترمذى Maksudnya : “sesiapa yang sembahyang di masjid secara berjemaah 40 malam, tidak tertinggal rakaat pertama daripada sembahyang isyak, Allah menetapkan dengan demikian itu kelepasan daripada api neraka.” 9.2.4 Tidak syak lagi, seorang musllim yang memiliki daurah ruhiyah ini atau dalam ertikata lain seorang muslim yang memiliki ketetapan atau qarar terhadap dirinya di dalam pemakaian ibadah seperti ini akan bertambah nur iman dan tauhidnya, jernih fikrahnya dan akan membawa kepada kesucian rohnya. Seterusnya sentiasa berulangnya daurah ini di dalam kehidupannya, mengekalkan nur iman di dalam hatinya dan menjadikan imannya di dalam keadaan sentiasa di perbaharui. 10.0 Ke arah Menyuburkan Ruhiyah 10.1 Di dalam tarbiah ruhiyah, secara kesimpulanya, solat (fardhu dan sunat) wirid serta zikir dan sentiasa mengekalkan pembacaan Al-Quran adalah merupakan tiga pengisian utamanya 10.2 Sebahagian besar waktu yang dipenuhi dengan pengisian ini amat bermakna di dalam pengislahan hati dan jiwa. Ketiga-tiga pengisian utama ini, meskipun sedikit, namun amat meninggalkan kesan di dalam pengislahan hati dan jiwa seorang muslim 10.3 Namun, di sana terdapat beberapa pengisian yang dapat membantu ke arah menyuburkan ruhiyah seorang muslim. Di antaranya ialah : a) Sentiasa bermuraqabah dengan Allah b) Mengingati mati dan ahwalnya c) Mengingati akhirat dan huru-haranya d) Menghayati sirah perjalanan Rasulullah SAW e) Bersahabat dengan golongan pemilik hati yang suci dan mengenal Allah f) Menangis kerana Allah di waktu bersunyian diri 11.0 Proses Perubahan Dan Keperluan Kepada Golongan Ruhiyah 11.1 Permasaalahan ummah dan kerja-kerja menyelamatkan kemanusiaan seluruhnya adalah kerja dan tugas berat yang tidak mungkin dapat di tanggung melainkan oleh golongan yang mempunyai hati dan jiwa yang bersih, suci dan benar kerana proses perubahan yang di taja oleh Islam adalah proses perubahan yang didasarkan kepada kesucian dan kemurnian jiwa berpandukan aqidahnya yang suci dan benar. 11.2 Kemantapan fikrah dan keutamaan di sudut haraki sahaja, tidak mampu menyelesaikan permasalahan yang membelit ummah, kerana kerja-kerja yang jaminannya keberkesanan dan kejayaan adalah bermula daripada permasalahan jiwa dan hati yang diredhai oleh Allah. 11.3 Namun begitu, keperluan melahirkan generasi pembawa risalah yang mempunyai keutamaan dan persediaan yang sempurna di sudut fikrah, jiwa (ruhiyah) dan persediaannya di sudut haraki adalah tuntutan yang sama penting demi keberkesanan dakwah dan kerja menyelamatkan ummah berjaya dipenuhi dan mencapai matlamatnya. 12.0 Kesan Ruhiyah Di Dalam Proses Pembinaan Dan Perubahan 12.1 Seorang muslim yang berjalan di atas jalan dakwah dan bekerja di dalam proses pembinaan danperubahan ummahnya, selayaknya adalah seorang muslim yang sentiasa terpancar jiwanya dengan pancaran ruhiyah, sentiasa bertiup keimanan di dalam hatinya, sentiasa membekalkan dairi dengan taqwa, insan yag soleh, muslim yang warak, mukmin yang bertaqwa dan rijal dakwah yang ikhlas. 12.2 Seorang pendakwah yang mengandungi ciri-ciri dan sifat-sifat ini, ucapannya menyentuh hati, tingkah lakunya menjadi qudwah, air mukanya memaut dan menenangkan hati, teori dan fikrahnya mengandungi pancaran nur Ilahi. 12.3 Seorang pendakwah apabila hilang pada dirinya ciri-ciri ruhiyah yang sempurna, cacatlah keperibadiannya, tidak mampu meninggalkan kesan di hati mad'u dari ucapan dan tulisannya, atau dalam ertikata yang lain akan berlakulah kesamaan antara murabbi dan anak didiknya atau pendakwah dan mad'unya. Pada ketika itu jadilah jiwanya kosong dan musnah, jiwa yang tidak mampu mengilham dan menggerak. Dan pendakwah pada ketika itu, tidak layak lagi menjadi jurubicara ummah, pemimpin dan pendakwah, penyelamat, perubah dan pendidik ummah, bahkan dirinyalah yang lebih layak untuk dididik dan ditarbiah. 13.0 Golongan Ruhiyah Masa Lalu Golongan ruhiyah dan angkatan kerohanian masa lalu adalah sebaik-baik contoh kepada perjalanan atau 'proses taghyir' yang sedang kita lagangi dewasa ini. Sesungguhnya merekalah yang telah menyebar dan mengembangkan Islam di benua Afrika, Asia Tenggara, Asia Tengah dan di serata alam ini. Kita lihat bahawa merekalah yang telah meninggikan panji-panji jihad di negara-negara mereka, gerakan As Sawasi di Libya, gerakan Al Mahdi di Sudan, bahkan merekalah yang telah berjasa terhadap pembebasan bumi Islam di Al Jazair, Tunisia, Al Maghribi dan di mana sahaja. 14.0 Peningkatan Ruhiyah Dan Berintima' Dengan Gerakan 14.1 Memberi keutamaan dan mengambil berat di dalam pengislahan hati serta peningkatan di sudut kerohanian atau ruhiyah, tetapi memandang ringan terhadap pemakaian hak terhadap membantu dan menolong agama Allah, menguat dan menggerakkan perjuangan mandaulatkan syariat bererti tidak memenuhi syarat-syarat pengislahan jiwa dan tidak menepati kehendak, tuntutan dan pengarahan syariat. Memperjuangkan agama Allah, memperkuat dan menghidupkan sunnah rasulullah SAW, menggerakkan perjuangan pendaulatan syariat atau dalam ertikata lain berintima' dengan gerakan Islam adalah kewajipan setiap mukmin yang benar dengan agamanya. Firman Allah : انا ارسلناك شاهدا ومبشرا و نذ يرا لتؤمنوا بالله ورسوله و تعزروه وتوقروه - الفتح 9-8 Maksudnya : Sesungguhnya kami mengutuskan kamu sebagi saksi pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan RasulNya, menguatkan AgamaNya dan membesarkanNya. Bagaimana mungkin boleh berlaku dan menjadi sempurna pengislahan hati, tetapi memandang ringan terhadap permasalahan menegakkan syariat Allah dan pendaulatan hukum hakamnya. 14.2 Berintima' dengan gerakan Islam adalah jalan yang sohih dan benar di dalam ertikata perjuangan pendaulatan syariat Allah dan hukum hakamnya. Justeru itu tidak mempunyai sebarang erti pengislahan hati dan peningkatan ruhiyah seandainya tidak sempurna intima' dan wala' kepada gerakan dan jemaah Islam, kerana sabda Rasulullah SAW : ان تلزم جماعة المسلمين و امامهم - رواه البخارى 15.0 Penutup Di dalam pembentukkan peribadi muslim yang sebenar, kita meletakkan tarbiah ruhiyah adalah asas kepada dakwah kita. Hakikat tarbiah ruhiyah ialah proses atau marhalah pendidikan diri, membersihkan jiwa dan menggilapnya sehingga mencapai kedudukan yang paling tinggi di dalam skop kesempurnaan jiwa kemanusiaan. Ia adalah merupakan uslub dari beberapa uslub dakwah yang diiktibar dan mesti dilalui di dalam perjalanan madrasah dakwah kita. Mudah-mudahan akan lahir daripada madrasah dakwah ini, generasi pembela yang tidak sekadar mempunyai peningkatan dan kemampuan di dalam sudut pembacaan politik dan siasah, teori dan fikrah, kemantapan amal dan tindakan, bahkan mempunyai peningkatan dan perkembangan di sudut ruhiyah dan kerohanian kerana gerakan Islam dewasa ini, di dalam perjalanan dan perjuangan untuk mencapai matlamatnya amat perlu kepada tenteranya yang hidup di dalam ungkapan ringkas yang cukup memberi erti dan bermakna, فرسان بالليل ورهبان بالنهار demi terjaminnya sejarah di era lalu berulang sebagai kenyataannya di era ini. InshaAllah. Oleh : Ahmad Dandarawie El-Hamidiy

Monday, March 10, 2008


Memohon harap dari Allah yang maha berkuasa, tangisan seorang pemimpin..
Doa Tuan Guru Nik Aziz:
“Wahai Tuhan Kami, berilah kami perasaan takut kepadamu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan dan berilah kami ketaatan kepadamua yang menyampaikan kami ke syurgamu, dan berilah dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia.”
“Wahai tuhan kami berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami.Dan janganlah engkau jadikan bencana bagi kami dalam ugama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya dami dan tidak sampai batasan ilmu kami. Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami.”
“Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungna dengan nur kesucian engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat jalal engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik.” “Wahai tuhan kami, engkaulah penolong kami, maka kepada engkau kami mohon pertolongna. Wahai tuhan kami, engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada engkaulah kami pohon selamat. Wahai tuhan bagilah kelemahan dan kehinaan yang mana segala tengkuk pembesar dunia.”
“Dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun, selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman siksamu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada tuhan bagi kami melainkan engkau demi kebesaran wajah engkau dan kemuliaan kesucian engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari engkau wahai tuhan yang maha pemurah.”
“Wahai Tuhan sama ada engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan kamu menundukkan mereka seperti seperti kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun kamu lipat balik rancnagan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri , dan kamu hancur leburkan pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan pendirian mereka dan Ya Allah turunkan bendera mereka rapat ke bumi, Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya, Wahai Tuhan yang mempunyai keagungna dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.”
“Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungna kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat emngubati hati dan menjadikan penawar, menyihatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian.”

Friday, March 7, 2008

air mata tok guru

Air mata Tok Guru
bakaq a.k.a. ~penarik beca Fri Mar 07, 08 12:10:40 pm MYT
Sepanjang membuat liputan "Munajat Rakyat Kelantan Pertahankan Kerajaan Islam" di Stadium Sultan Muhammad IV, kepada saya, kemuncaknya ialah linangan air mata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tok Guru yang dikasihi, ketika merayu dan meratapi pertolongan Allah Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi.
-->
Dada semakin sebak apabila Tok Guru berkali-kali menyapu air matanya sebaik sahaja mengakhiri doa dan munajat yang dipersembahkannya kepada Allah setulus hati, penuh rendah diri. Dalam hati, saya meraung, "Aduhai Tuhan, lihatlah hamba-Mu itu, Tok Guru kami. Pandanglah kami. Dikau Maha Mengetahui, kami di sini ya Allah! Adrikna!"
Ketika manakah Tok Guru begitu terharu, sebak, bergetar-getar dan tersekat-sekat suaranya? Bukan, bukan ketika beliau merayu kemenangan PAS.
Saya memang kutu yang jahil. Huwa rajulun jahilun, itulah yang selalu saya dengar tentang diri saya.
Saya tak tahu bahasa Arab. Saya bodoh. Tetapi sepatah dua bolehlah saya teka. Kepada 'alim ulamak yang bersama-sama bermunajat tadi, tolonglah betulkan saya kalau saya salah.
Kiamat
Bukan ketika merayu kejayaan pilihan raya, tetapi suara Tok Guru tersekat-sekat dan terdengar bersusah payah menahan sebak di dada ketika merayu belas kasihan Allah di Hari Kiamat kelak. Berulang-ulang dia merayu belas kasihan Tuhan Yang Maha Pengampun di Hari Kiamat kepada semua yang bersama-samanya, sama ada di dalam stadium tersebut atau yang menonton melalui Kelantan TV (sila klik).
Munajat rakyat Kelantan untuk mempertahankan kerajaan Islam sebenarnya bermula seawal jam 3.00 pagi tadi. Saya terlewat. Ada beberapa berita yang terpaksa disiarkan dahulu dalam Harakahdaily ini.
Paling akhir saya memuatnaikkan berita dalam laman ini ialah pada pukul 2.36 pagi tadi. Selepas menyelesaikan beberapa hal, barulah saya bertolak ke Stadium Sultan Muhammad IV.
Dalam perjalanan, berdasarkan pakaian mereka yang berada di dalam kereta, saya lihat begitu banyak kereta yang saya yakin sedang menuju ke tempat yang sama. Banyak juga yang mengibarkan bendera PAS.
Sebaik sahaja sampai di Wisma Persekutuan di Jalan Bayam, jalan mulai sesak. Tersekat-sekat. Lenguh juga kaki mengendalikan brek dan klac. Setelah agak lama bersopan di jalan raya di tengah-tengah kesesakan itu, saya akhirnya tak larat bersabar dan menyelit-nyelit menuju ke stadium. Mujur, dapat juga tempat meletak kereta.
Ketika menghampiri stadium, terdengar suara memohon doa kepada Allah yang sangat dikasihi. Seorang petugas memberitahu saya, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak memimpin zikir istighfar itu.
Walaupun padang di stadium itu telah dipenuhi para jemaah, di mana kaum muslimat berada di sebelah kanan, kehadiran ahli-ahli dan para penyokong PAS untuk bersama-sama dalam munajat itu bagaikan tidak ada penghujungnya.
Doa Nabi Yunus
Saya lemah dalam bab mengira berapa banyak yang datang. Stadium penuh. Yang datang masih ramai lagi. Nampak berkemutih seluruh padang stadium dengan kopiah kaum muslimin dan telekung kaum muslimat. Agaklah sendiri.
Wartawan The Star, Shahanaaz Habib dan seorang rakannya ada di tangga stadium itu. Saya sempat menegur mereka. Intai-intailah The Star kalau-kalau Shahanaaz mencatat berapa jumlah yang hadir.
Tidak lama selepas itu, Tuan Guru Haji Hussain Lubok Tapah pula memimpin munajat rakyat Kelantan itu. Sebaik selelsai solat tahajjud, beliau mengajak para jemaah membaca tasbih Nabi Yunus 'a.s.. Ketika membaca "La ilaha illa Anta, SubhanaKa, inni kuntu minaz-zalimin" itu, hati saya terus teringat isteri saya di Kuala Lumpur. Minta maaf saya mencelah dengan hal sendiri. Jangan marah.
Isteri saya bolehlah saya dakwa mengamalkan doa Nabi Yunus itu. Hatta, nak cari parking pun dia akan membaca doa itu. Walaupun berdoa dengan doa Nabi Yunus, mungkin isteri saya itu pernah dikecewakan. Tetapi, saya tak ingat.
Bukan mengenai isteri saya sebenarnya. Tetapi, yang ingin saya nyatakan ialah betapa maqbulnya doa Nabi Yunus ketika terperangkap dalam perut ikan nun itu. Sebab itulah, ketika itu, hati saya merayu kepada Tuhan agar dimaqbulkan doa para jemaah yang hadir pada malam itu.
Ketika itu jugalah baru saya tahu ada siaran langsung. Terus saya muatnaikkan pengumuman bertajuk "Siaran langsung Munajat Rakyat Kelantan" dalam Harakahdaily ini. Saya harap bermanfaat.
Selepas itu dahagalah pulak. Saya ke gerai-gerai yang nampak bersambung dengan stadium itu. Sambil minum, saya SMS Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub. Puas saya mencari dia, tak nampak-nampak. Saya ajak dia minum kalau-kalau dia ada di situ.
"Aku pun munajat ni.....hang dok minum ja!" dia membalas SMS saya dengan gurauannya.
"Hebat jugak..." kata saya dalam hati. Jenuh saya mengintai-intai kalau-kalau Salahuddin ada di saf depan, di kalangan pimpinan. Tak nampak-nampak. Rupa-rupanya dia tersorok di antara ribuan rakyat yang bermunajat. Sahabat kita itu mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian yang sebelum ini diwakilinya. Mudah-mudahan pertolongan Allah sentiasa bersama-samanya.
Walaupun semua orang tahu Tok Guru terlalu letih berkempen sana-sini di musim pilihan raya ini, kira-kira jam 5.25 pagi akhirnya beliau sampai. Bergema seruan takbir. Jam 5.30 pagi solat hajat pun dimulakan. Solat diimamkan oleh Ustaz Muhammad Mustafa, calon PAS bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit.
Suasana hening dan hampir sepi ketika solat hajat itu. Setiap kali sujud, begitu lama.
Inilah PAS!
Ketika itu saya berjumpa dengan anak Tok Guru, Ustaz Nik Abduh yang baru sampai. "Iran tak sembahyang hajat ka?" dia bergurau dengan saya.
"Iran sembahyang. Tapi saya tak yakin seluar saya bersih nak sembahyang," kata saya kepadanya. Walaupun banyak pihak yang mahu Ketua Lujnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Pusat itu bertanding dalam pilihan raya kali ini, tetapi dia tidak bertanding sebab ayah dia kata, "dia muda lagi".
Namun begitu, Nik Abduh tak pernah absent dalam perjuangan. Tidak bertanding tidak bermakna cabut lari dan tidak buat kerja. Saya juga melihat kehadiran bekas-bekas Ketua Pemuda PAS Kelantan yang pernah menjadi wakil rakyat tetapi tidak dicalonkan kali ini. Saya bangga seorang diri di dalam hati, "inilah orang PAS".
Saya balik ke tempat saya tidur di belakang Hospital Pakar Perdana berdekatan stadium itu. Nasib baik dekat dengan stadium. Kalau tidak, lintang-pukang juga nak bertempur dengan masa. Lepas Subuh, saya ke stadium semula. Nak dengar tazkirah dan amanat Tok Guru.
Ketika saya masuk semula ke dalam stadium, saya lihat Tok Guru sedang menyampaikan tazkirah. Mengapa tazkirah? Mana taklimat politik atau motivasi berapi-api?
Saya teringat Imam Khomeini yang dikasihi. Beliau lebih banyak menekankan penyucian jiwa dan pengukuhan ruhani kepada pengikut-pengikutnya. Pengikut-pengikut yang diasuh serta dibentuk jiwa dan hati mereka itulah yang mencetuskan Revolusi Islam.
Selepas tazkirah itulah beliau mengajak para jemaah bermunajat. Walaupun agak panjang masa yang beliau manfaatkan untuk merintih dan merayu kepada Allah Yang Maha Berkuasa, semuanya bersemangat mengaminkan doa dan harapan Tok Guru.
Meresap ke hati
Apabila suara Tok Guru bergetar sayu dan jelas kedengaran begitu bersusah payah cuba menumpaskan sebak dan tangis untuk terus berdoa dengan jelas, kerlipan lampu-lampu kamera tak henti-henti melimpahi tubuh kecil Tok Guru. Sesekali saya dapat melihat pantulan manik-manik air mata dan raut wajah Tok Guru yang bersungguh-sungguh merayu pertolongan dan belas kasihan Allah. Suara yang datang dari hati terus meresap ke dalam hati. Tak tersekat sedikit pun.
Bukan sahaja ketika memberikan tazkirah, ketika menyampaikan amanat selepas itu pun, Tok Guru masih masih memberi peringatan tentang mati, tentang syafaat Nabi s.'a.w., kejayaan yang memestikan nafsu dan jiwa dibersihkan, taubat dan tugas kerajaan Islam.
Sehingga majlis berakhir kira-kira 8.20 pagi, yang lebih banyak diucapkan oleh Tok Guru ialah soal penyucian jiwa (tazkiyyatun-nafs).
Entah kenapa, ketika itu saya teringat kata-kata seorang sahabat dari Iran, "Sebenarnya kejayaan Revolusi Islam ini (disebabkan) tak sampai lima peratus usaha kami dan lebih 95 peratus lagi pertolongan Allah". Masya Allah, mati sehingga beribu-ribu orang diganasi tentera dan polis Shah, "tak sampai lima peratus usaha kami".
Saya benar-benar teringin hendak merasai pertolongan yang sama. Aduhai Allah, saya jahat. Tetapi untuk kesekian kalinya, tolonglah berbelas-kasihan kepada saya, sudilah "memberi muka" kepada saya dan maqbulkan harapan saya: Limpahkanlah pertolongan-Mu sebanyak-banyaknya, walaupun mungkin tak sampai satu peratus usaha kami.
Aduhai Allah, keringat telah diperah, rayuan dan rintihan telah dipersembah, air mata Tok Guru masih tumpah, adakah kami menang atau kalah?
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang- orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)